nota dahi


Aku kembali yaw!

Dipukau, Diragut dan Ditinggalkan

hidup ini kononnya seperti perjalanan pelik. pelik kerana kita bermula dari infiniti, kemudian berjalan dan berakhir dengan infiniti juga. di tengah-tengan antara dua infiniti itu kita akan ketemu ruang masa. dalam ruang masa itu kita beraktiviti. ada yang hanya bereksperimentasi. macam aku.

sejak dari permulaan ruang masa ini aku sedar betapa patetiknya aku. bagai segala objek dan benda bernyawa di dunia ini sudah berkonspirasi mahu melihat kejatuhan aku yang bermula kosong, kemudian ke negatif dan negatif lagi. jadi aku putuskan untuk bereksperimentasi saja kerana sudah terealisasi bahawasanya segala kejadian yang aku harapkan tidak akan terjadi.

dengan langkah penuh gaya malas lalu aku menjalani perjalanan merentasi ruang itu dengan berbekal sekeping hati dan sepint jiwa. aku tak suka berjalan di jalan besar-besar. takut sekali! mainstream kata budak-budak muzik. aku memang tak suka diri aku dinampak oleh yang lain. lalu aku pilih sebuah lorong.

dan ingatkah lagi puisi The Road Not Taken?

mungkin hujungnya aku jumpa tempat lebih indah? walaupun lorongnya bersusun bata kotor dengan sampah, bangkai tikus dan hancing kencing nyah?

baik baik. melekapkan sepint jiwa aku ke dalam jaket dan tangan kanan memegang sekeping hati itu aku berjalan hati-hati. takut juga disimbah air basuhan Depex. bimbang jaket material kulit hitam ini bertukar putih seputih gigi model ubat gigi kayu sugi. juga takut tiba-tiba ada bayi luar nikah yang baru dilahirkan tercampak dari atas, manalah tahu sekarang ini kes buang bayi sana-sini.

'hey, kamu chubby yang seksi.'

aku kerut dahi dan berpaling-paling mencari empunya suara entah datang dari mana atau siapa. waktu aku berpaling itulah tiba-tiba tangan aku terasa serupa kebas. bila aku lihat, bungkusan beg kertas berisi sekeping hati itu sudah tiada. yang ada cuma derap kasut seseorang berlari meninggalkan aku.

'nanti, jangan lari!' aku ingin jerit tapi memandangkan ayat itu klise jadi aku harus tukar strategi. alangkah polis menjerit begitu pun tak dipeduli! jadi bagaimana? aku cuba reverse psychology.

'larilah! larilah!!'

larilah, sama sekeping hati aku. larilah lagi. tinggalkan aku menonggang sepint jiwa. lalu aku mabuk.

mabuk cinta.


No comments:

Pembaca Setia