nota dahi


Aku kembali yaw!

Pasca


dahulu dia pantang benar lihat bilik anak gadisnya bersepah. dia akan membebel. dia akan bising suruh kemas. dia akan sambung bebelannya dengan mengaitkan kebersihan dengan agama. dia akan kaitkan keserabutan bilik sama dengan keserabutan anaknya. dan kerana itu anaknya itu akan mengunci bilik setiap kali keluar.

tapi hari ini tidak. hari ini dia masuk senyap-senyap dalam bilik bersepah itu. dia lihat baju yang tidak dibasuh yang bertimbun dalam bakul plastik merah. dia lihat baju yang bersih tidak berlipat di atas kayu penyidai. dia lihat meja sisi katil yang bersepah dengan buku nota, kertas conteng, bil internet, dua gulung riben, losyen dan balm. dia nampak katil yang tak terurus saiz quen itu cadarnya hampir tanggal tidak dibetulkan, buku-buku cerita baru dibeli bertimbun entah sempat dibaca atau tidak oleh anaknya.

dan dia baring di ruang kosong yang muat-muat badan saja atas katil itu, atas bantal milik anak gadisnya itu. tepi bantal ada beg alat solek yang terbuka dan didalamnya ada botol ubat, ada tisu basah untuk buat tanggal solekan.

hari ini dia sudah tak kisah. hari ini dia baring di situ untuk merasa bagaimana anaknya melalui detik terakhir sebelum botol ubat yang semalamnya penuh tiba-tiba kosong.

No comments:

Pembaca Setia