Bila Bayu duduk di beranda
flat 20 tingkat di Sentul itu, dia terasa mahu terbang. Kan
bagus kalau ada sayap seperti burung merpati yang suka menjamban atas kereta
yang diparkir di bawah sana?
Boleh terbang hinggap sesuka hati. Boleh menjelajah. Boleh lihat trafik Kuala Lumpur yang sesak
ini beransur-ansur hilang dari pandangan bila sampai ke tempat baru.
Selama Bayu hidup, dia rasa
terbelenggu. Dikongkong keluarga. Ditekan, dilenyek, dipijak oleh orang lain. Diambil
enteng. Bayu bosan begitu. Bayu mahu hidup bebas, mahu jadi diri sendiri!
Bila ada peluang (itu pun
secara curi-curi) Bayu akan turun ke bawah dan berjumpa kawan-kawan. Mereka
berkumpul dekat tangga yang jarang diguna orang. Berbual, bergurau, bercakap
tentang masa depan. Bukan buang masa sangat pun. Meluaskan pandangan saja.
Bosan terperuk dalam rumah berbilik dua itu.
Dalam ramai-ramai kawan
Bayu, ada Nini. Nini putih, cantik. Selalu melirik-lirik ke arah Bayu. Suara
Nini merdu, tapi Bayu jarang dengar Nini bercakap. Mungkin Nini pemalu. Nini
juga jarang turun ke bawah melepak. Mungkin keluarga Nini lebih tegas dari
keluarga Bayu.
Bayu mengeluh. Kesian Nini.
Dia dapat rasa apa Nini rasa. Sunyi.
Kawan-kawan lain
berdekah-dekah ketawa selepas mendengar lawak Dee.
Tapi Nini cuma senyum. Bayu tenung Nini, dan ini buat Jijah yang ada sebelah
Nini perasan sesuatu. Jijah senggol Nini, cuba mengusik temannya walaupun
hati rasa cemburu. Nini tersipu dan
balas renungan Bayu.
Malam itu Bayu duduk di
beranda lagi. Ah Nini…Nini! Bayu angau. Bila ayah panggil makan Bayu tak lapar.
Bila emak mandikan Bayu tak meronta-ronta macam biasa. Bila Abang Johan tutup
lampu Bayu tak segera terlelap. Adakah ini namanya cinta? Tanya Bayu sendirian.
Tak boleh jadi! Esok, Bayu
akan curi-curi keluar lagi untuk meluahkan perasaanya pada Nini.
(bersambungan di antara dua gerhana)
3 comments:
nama pesen bayu2 ni mesti suka hangin...kakaka
atau suka kentut. kakaka!
sudah dua gerhana berlalu....
u've been missing again :(
Post a Comment