nota dahi


Aku kembali yaw!

La Mer 1

bising di dapur. aku tahu mama sedang marah. pasal apa, aku malas nak ambil kisah. baik aku berkurung dalam bilik. bilik aku, walaupun sebelah dapur dan jelas dengan hempasan pinggan mangkuk mama, buat aku tenang.

kadang-kadang aku harap juga ada orang cipta vakum bunyi.

dalam kalut ribut di luar yang bagai dilanda taufan megi, dalam bilik aku umpama pulau French Polynesia yang tenang. aku baring atas katil dan bayangkan aku hanyut atas sampan. dari siling putih, aku pejam mata, dan nampak langit biru bertompok awan. matahari menyinar tapi tak berapa terik. cukup-cukup saja untuk buat aku rasa hangat.

bunyi air berkocak, bunyi burung berkicau. rasa bayu berhembus. 

aku, memakai two-piece warna putih dengan topi besar di kepala. tangan aku juntaikan ke sisi sampan, mengocak-ngocak air laut. sejuk. nyaman. memang terasa mahu terjun saja ke laut. 

kreeekkk.... sampan aku beroleng ke kanan. senget. aku dengar bunyi splashh...splashh..lembut, tapi.
hey dara. kenapa seorangan di sampan hanyut? 

aku buka sebelah mata. seorang teruna merehatkan badannya dengan menyangkut kedua-dua lengan di sisi sampan aku, dekat dengan lutut. dari rambutnya menitis air masin, berkilat setiap titiknya. titik-titik itu mengalir ke bawah dengan kuasa hukum alam, terus ke bahu telanjangnya yang sasa berotot. 

saja. 

dia mengalihkan posisinya semakin dekat, kali ini makin mara ke lengan aku. tangan basahnya yang berpaut pada sisi sampan hampir tersentuh dengan lengan aku yang kering bersalut krim pelindung ultra ungu.

kamu patut terjun saja ke air. apa enaknya bermandi hangat cahaya mentari tanpa merasa dingin lautan?

nantilah. 

ah. sebenarnya seumur hidup aku tidak pernah berenang. aku fobia dengan air dalam. aku cuma berani berendam dalam kolam kanak-kanak yang paras pinggang. 

aku Mer. apa nama kamu?
aku kerut dahi. 

Mer? nama apakah itu?

Mer, sepertinya La Mer. lautan. dan kamu belum jawab soalan aku.

aku beritahu dia namaku Terra. ya, sepertinya Terra Cotta. lama berbual. dengan aku atas sampan. dengan dia masih berendam. dia cerita tentang pulau magis ini. air lautnya jernih, pasir pantainya putih. burung camar terbang. bebas tanpa peduli manusia di bawah. 

marilah. terjun. 

aku masih enggan. takut. tak tahu bagaimana untuk bergerak dalam ruang yang tiada gelegar solid untuk aku jejak. 



akankah Terra terjun? bersambung di episod akan datang...






2 comments:

Edy G-Minor said...

wow! this is wow!

Dark Half said...

beautifully crafted. aku tunggu sambungannya

Pembaca Setia